

MAJLIS MENANDATANGANI IKRAR INTEGRITI KORPORAT SYARIKAT AIR NEGERI SEMBILAN SDN BHD (SAINS) BERSAMA SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) telah mengadakan Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat SAINS bersama SPRM pada 18 Februari 2013 bertempat di Klana Resort, Seremban. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Haji Mat Ali bin Haji Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri, merangkap Ahli Lembaga Pengarah / Pengerusi Jawatankuasa Khas Eksekutif (EXCO) Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd mewakili YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.
SAINS adalah agensi yang kedua di Negeri Sembilan mengambil inisiatif ini. SAINS bertanggungjawab di dalam menyediakan satu perkhidmatan penting kepada masyarakat. Oleh itu, untuk memastikan tahap perkhidmatan yang memuaskan, sebarang kompromi terhadap integriti perlu dibendung pada setiap aspek operasi syarikat.
Kehadiran seramai 300 orang wargakerja SAINS dalam majlis ini membuktikan SAINS akan terus menunjukkan komitmen untuk memberikan perkhidmatan terbaik, malah sentiasa bersedia untuk menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh SPRM dalam mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik. |


Program Perkongsian Maklumat antara Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB)
Program Perkongsian Maklumat antara SAINS & SAMB diadakan bertujuan untuk meninjau perkembangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) SAMB yang membanggakan serentak bagi SAINS mempelajari pendekatan yang ditekankan oleh mereka untuk menangani NRW seperti yang ditetapkan oleh SPAN agar setiap operator air mempunyai program penurunan kadar NRW yang sistematik.
Pada masa yang sama SAINS telah memberikan fokus kepada program menurunkan kadar NRW dengan penglibatan bersama SPAN dalam aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membendung kes kecurian air melalui penyambungan haram yang turut menyumbang kepada peningkatan kadar NRW.
Program penguatkuasaan SAINS ini telah menarik minat SAMB untuk mempelajari kaedah yang dilaksanakan oleh SAINS mengikut jadual dan Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan agar pengurangan kadar NRW dapat mencapai sasarannya.
Seramai 21 orang kakitangan SAINS dari Unit Agihan, Penguatkuasaan, Billing, NRW dan Komunikasi Korporat terlibat dalam program ini. Pelbagai perkara dapat dipelajari dan dikongsi bersama sepanjang program ini diadakan. Rombongan daripada SAINS amat berterima kasih kepada seluruh warga SAMB terhadap sambutan yang diberikan terutama kepada Y.Bhg Datuk Ir Hj Mohd Khalid Hj Nasir, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB.
|

PROJEK PENUKARAN PAIP DI TAMAN TELAWI, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN UNTUK MENGURANGKAN KADAR GANGGUAN BEKALAN AIR SIAP SEPENUHNYA.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) memaklumkan bahawa projek penukaran paip lama di Taman Telawi, Seremban, Negeri Sembilan telah pun dilaksanakan untuk mengurangkan kejadian gangguan bekalan air yang sering dialami oleh penduduk taman tersebut ekoran daripada kekerapan kejadian paip pecah. Projek ini melibatkan kerja-kerja penukaran paip lama jenis High Density Polyethlene (HDPE) kepada jenis paip Mild Steel (MS) berdiameter 150mm sepanjang dua kilometer dan akan melibatkan penggantian paip utama, paip perhubungan, ‘tapping’ dan penambahbaikan secara keseluruhan sistem retikulasi di seluruh taman tersebut. Penggantian ini melibatkan hampir 200 akaun pelanggan.

SAINS amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk di taman tersebut. Disamping memastikan kerja-kerja pembaikan paip pecah dijalankan dengan kadar segera, SAINS juga telah mendapat peruntukan dari Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi melaksanakan projek ini.

Kerja-kerja tapak telah bermula pada 27 Oktober 2011 dan dijangka mengambil masa selama 16 minggu. Sehingga Februari 2012 kerja-kerja penukaran paip siap sepenuhnya dan penduduk di Taman Telawi pada masa ini telah mendapat bekalan air seperti yang sepatutnya.
 |
|
|
|
Page 2 of 3 |