
Memulihkan Sistem Bekalan Air di Felda Palong 2 dan Gugusan Felda Palong di daerah Jempol, Negeri Sembilan
Bayangkan senario ini. Apabila kita membuka paip di sinki dapur, tekanan air yang mengalir begitu lemah walaupun kolam air yang diuruskan syarikat operator air boleh dilihat tidak jauh daripada lokasi rumah. Secara logik, aliran air paip ke rumah kita sepatutnya lebih besar dan kuat tetapi perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Ketika itu, hati pasti menjadi marah dan tertanya-tanya mengapa perkara itu berlaku.
Fenomena seperti ini sering berlaku terutama di kawasan-kawasan luar bandar seperti di penempatan Felda Palong 2 di daerah Jempol di Negeri Sembilan. Sistem bekalan air yang dibina semasa kawasan ini dibuka tidak mampu lagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat. Pertambahan penduduk serta usia usang infrastruktur seperti paip, tangki simpanan, rumah pam juga adalah faktor-faktor yang menyumbang ke arah masalah yang dihadapi oleh penduduk.
Menyedari masalah ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) telah melaksanakan program penambahbaikan sistem bekalan air di gugusan Palong ini bagi membolehkan penduduk mendapat bekalan air terawat yang lebih konsisten dan berkualiti. Sebagai syarikat operator air di Negeri Sembilan, SAINS komited di dalam usaha untuk mengatasi isu-isu bekalan air yang masih dialami di kawasan-kawasan luar bandar sejak mengambil alih tanggungjawab tersebut dari Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan.

Kawasan Felda Palong 2 ketika ini mempunyai 638 akaun (anggaran hampir 2500 penduduk). Pada masa yang sama, jumlah keseluruhan akaun dari Felda Palong 2,3 hingga 16 adalah sebanyak 6,000 akaun. Kawasan gugusan Palong ini menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Gemas Baru yang diagihkan melalui Kolam Imbangan Londah yang terletak berdekatan kawasan Felda Palong 2. Walaupun berhampiran kolam imbangan tersebut, penerimaan air bagi penduduk Felda Palong 2 tidak stabil kerana kawasan Palong 2 merupakan kawasan yang paling tinggi berbanding kawasan penempatan felda yang lain. Berdasarkan kajian hidraulik yang telah dilaksanakan SAINS, sistem agihan air yang direka dahulu ini memerlukan, kawasan Palong 2 hanya akan menerima bekalan air selepas bekalan air mengalir ke kawasan-kawasan yang lebih rendah iaitu di Felda Palong 3 hingga 16. Hanya setelah kawasan-kawasan tersebut mendapat bekalan air yang secukupnya, tekanan di dalam sistem tersebut akan mengalirkan baki air ke kawasan Palong 2.

Oleh yang demikian, penduduk Felda Palong 2 sering mendapat bekalan air di bawah tekanan sepatutnya. Keadaan bertambah getir apabila berlakunya permintaan bekalan air yang tinggi, seperti musim perayaan atau berlakunya kejadian-kejadian paip pecah. Akibat dari sistem agihan yang sediada ini, hampir 41 premis di Blok B, C dan D serta Kuarters Kakitangan Felda tidak mendapat bekalan air secara konsisten.
Untuk mengatasi masalah ini, SAINS perlu melaksanakan perubahan di dalam sistem agihan air di gugusan Palong ini. Perubahan ini termasuk:
- Menggunakan Kolam Imbangan yang terletak di Felda Palong 1 yang kini tidak digunakan sebagai kolam simpanan bagi mengagihkan air secara terurus ke kawasan Felda Palong 2 dan 5.
- Pemasangan sistem perpaipan baru bagi menghubungi sistem Palong 2 ke Kolam Imbangan di Felda Palong 1.
- Untuk memastikan air masuk ke kolam imbangan Felda Palong 1, sistem air daripada Kolam Imbangan Londah iaitu daripada Loji Rawatan Air Gemas Baru hendaklah diasingkan daripada sistem sedia ada daripada bercampur dengan LRA Pasir Besar.
Berdasarkan tiga perkara ini, pihak SAINS telah memasang paip yang bergaris pusat 250 mm keluar daripada Kolam Imbangan Palong 1 sepanjang 663 meter. Pemasangan paip ini telah dilaksanakan oleh kakitangan SAINS seramai 12 orang dan tujuh orang daripadanya adalah Anggota Rejimen Pakar 60. Kerja-kerja telah dimulakan pada 9 Julai 2012. SAINS juga telah melaksanakan kerja-kerja lain seperti memasang injap-injap untuk mengawal tekanan serta aliran air secara lebih cekap.

Pada masa yang sama, SAINS juga telah melaksanakan pengubahsuaian untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di gugusan Felda Palong. Untuk memastikan bekalan air daripada Kolam Imbangan Londah dapat dialirkan dengan cepat ke kawasan Palong 3 hingga 16, kerja-kerja pemasangan pam penguat (booster pump) baru dipasang pada sistem perpaipan yang mengalir dari Kolam Imbangan Londah ke sistem paip Palong 3 hingga 16. Kerja-kerja ini telah mencapai 85% dan di jangka boleh beroperasi sebelum 21 Julai 2012. Usaha ini dilaksanakan dengan kadar segera untuk menampung permintaan bekalan air yang tinggi sepanjang musim perayaan Aidilfitri 2012.

Satu perjumpaan khusus telah diadakan diantara SAINS dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rancangan Felda (JKKRF) bersama Y.B Dato’ V.S Mogan, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar & Pengaduan Awam merangkap ADUN Jeram Padang pada 11 Julai 2012 di Pejabat JKKK, Felda Palong 2 bagi menerangkan kepada masyarakat inisiatif-inisiatif yang sedang diambil SAINS bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bagi penduduk-penduduk di kawasan ini. Inisiatif penambahbaikan ini dianggarkan menelan belanja sebanyak RM500,000.

|