Media
|
30 Ogos 2012 SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN SIARAN AKHBAR
OPERASI SERBUAN KES CURI AIR OLEH SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AIR NEGARA (SPAN) & SYARIKAT AIR NEGERI SEMBILAN SDN. BHD. (SAINS) DI JEMPOL PADA 28 OGOS 2012 Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) bersama-sama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menjalankan serbuan kes curi air ke atas sebuah premis yang disyaki di Jempol pada 28 Ogos 2012. Operasi serbuan telah diketuai oleh pegawai SPAN iaitu En. Mohadir Bin Hid dari Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan (BHEPPP SPAN) dan Unit Penguatkuasaan SAINS. Serbuan dilakukan ke atas sebuah tapak pembinaan dewan yang terletak di Batu Kikir dimulakan pada jam 12.00 tengahari. Ketika serbuan dijalankan, penghuni premis didapati telah melakukan kesalahan melalui penyambungan tidak sah yang dibuat secara ‘Tee Off’ menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25mm. Air yang diperolehi melalui penyambungan paip air secara tidak sah itu dipercayai digunakan untuk kegunaan harian pekerja binaan yang mendiami rumah kongsi yang berada berhampiran tapak pembinaan tersebut. SAINS juga telah menjalankan ujian klorin di lokasi dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS. Pihak SPAN telah menyita paip HDPE di lokasi berkenaan sebagai bahan bukti dan turut mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada penghuni premis. Kedua-dua kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara (AIPA) 2006. Denda yang diperuntukkan dibawah seksyen tersebut adalah sebanyak RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Operasi telah tamat pada jam 2.00 petang, hari yang sama. SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan keatas kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes melibatkan pengguna komersial mahupun domestik. Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil ataupun Non Revenue Water (NRW). SAINS terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih diatas bantuan dan kesedaran masyarakat bersama-sama SAINS dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini. Justeru, para pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982 dengan pemberi maklumat dirahsiakan.
-Tamat- Untuk sebarang maklumat/pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Azlan Abdul Aziz Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. Tel: 012-6140522/06-6033503 Fax: 06-6017514 |


